fbpx

Kes buli: Polis masih tunggu arahan lanjut Jabatan Peguam Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob (dua dari kiri) pada program Lawatan Kerja Ketua Polis Perak ke IPD Kuala Kangsar di Kompleks Perumahan PDRM Kuala Kangsar di sini hari ini.

KUALA KANGSAR – Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara berhubung dua kejadian buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di sini dan sebuah sekolah berasrama di Teluk Intan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan bagi kedua-dua kes berkenaan telah selesai dan pihak berkaitan juga sudah dipanggil bagi memberi keterangan.

“Siasatan telah selesai dan pelajar yang terlibat pun telah dibebaskan dengan jaminan polis. Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya percaya satu keputusan akan dibuat tidak lama lagi ke atas kesemua kes buli melibatkan pelajar di sekolah berasrama di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Lawatan Kerja Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di Kompleks Perumahan PDRM Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Menerusi laporan media 10 Disember lalu, seorang pelajar MRSM Sultan Azlan Shah cedera akibat dibuli rakan-rakan di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.

Rakaman video kejadian itu tular dengan memaparkan mangsa berusia 13 tahun dikepung dan ditumbuk di bahagian perut.

Susulan kejadian itu, 10 pelajar lelaki melibatkan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Media pada 25 Jun lalu turut melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua cedera dipukul 10 pelajar termasuk menggunakan seterika panas dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Teluk Intan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI