fbpx

Tolonglah adil, mereka sedang bergelut – Sharifah Amani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH AMANI

PETALING JAYA –  Penutupan kelab komedi yang menyaksikan perlakuan tidak senonoh seorang pelawak wanita baru-baru ini terus mendapat reaksi dalam kalangan anak seni.

Terbaharu, pelakon popular Sharifah Amani meluahkan bantahan sekeras-kerasnya penutupan sementara Kelab Komedi Crackhouse berhubungan siasatan terhadap wanita bernama Siti Amira Natasha yang atas dakwaan menghina kesucian agama sewaktu beraksi di kelab berkenaan baru-baru ini.

Menurut Amani, dia sendiri pernah membuat persembahan dan sering hadir menyaksikan pelawak-pelawak solo beraksi dan mencari rezeki di kelab tersebut.

“Tempat berbilang kaum datang untuk berehat dan mendapatkan hiburan. Saya sendiri pernah perform (buat persembahan) dan menonton banyak sesi ‘stand up comedy’ di @CrackhouseKL.

“Celebrate birthday (sambut ulang tahun kelahiran) keluarga pun ada di sini. Ini bukan salah Crackhouse, ini salah individu tersebut,” tulisnya menerusi satu ciapan dalam Twitter.

Tambah pelakon filem Mukhsin itu lagi, penutupan kelab tersebut benar-benar tidak adil memandangkan hanya melibatkan seorang individu dan bukannya keseluruhan perniagaan.

“Tolonglah bersikap adil, lokasi-lokasi seni tempatan ini sendiri tengah bergelut,” katanya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan apa yang diperkatakan Amani dan menyifatkan pihak berkuasa tempatan tidak adil dan hanya bertindak secara berat sebelah.

Minggu lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menghentikan sementara operasi premis berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Penutupan premis tersebut terlebih dahulu mendapat perhatian dan respons aktor serta pengarah popular, Datuk Afdlin Shauki yang senada dengan Amani.

Penyampai radio dan pelawak Douglas Lim turut menegaskan bahawa lokasi kejadian iaitu kelab di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) tidak sepatutnya dipersalahkan.

Kenyataan Afdlin dan Douglas bagaimanapun seperti menyimbah minyak ke api yang marak apabila dikecam teruk oleh netizen.

Terdahulu, tular dalam media sosial apabila seorang wanita berusia 28 tahun dikenali sebagai Siti Amira Natasha tampil dalam satu acara komedi di kelab tersebut.

Dalam video berkenaan, wanita yang mula berpakaian sopan dan mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran itu secara tiba-tiba menanggalkan tudung dan baju kurung yang pakainya sehingga menampakan baju dalam.

Difahamkan wanita terbabit sudah pun ditahan polis bagi membantu siasatan bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI