SUNGAI PETANI – Seorang peniaga makanan yang bertindak membakar sebuah pondok dan memecahkan cermin sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dekat Taman Seri Astana di sini direman empat hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 54 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Muhammad Aliff Abdul Aziz.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap polis menunjukkan pelbagai aksi ketika wajahnya dirakam semasa diiringi anggota polis untuk prosiding reman.
Malah suspek turut menanggalkan pelitup muka yang dipakai sambil meminta gambarnya diviralkan di laman sosial untuk memudahkan orang mengenalinya.
Suspek ditahan selepas mengamuk dengan membakar sebuah pondok dan memecahkan cermin MPV Naza Ria milik orang awam kerana gagal menemui isteri keduanya yang merupakan warga Thailand kira-kira pukul 10.20 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE