PETALING JAYA – Aliran trafik di sekitar lebuh raya lancar dan tidak sesak seperti semalam susulan warga kota kembali bekerja selepas tamat cuti Hari Raya Aidiladha.
Tinjauan Kosmo! menerusi laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan jumlah kenderaan melalui lebuh raya juga tidak banyak seperti pada Jumaat, Sabtu dan semalam.
Antara gambar kelancaran aliran trafik yang dipaparkan seperti di Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke arah ibu negara.
Dalam masa sama, tinjauan melalui paparan CCTV di laman web jalanow.com pula menunjukkan, keadaan laluan utama ibu negara juga lancar pada pagi ini dengan kenderaan warga kota ke tempat kerja.
Laluan yang dipaparkan itu antaranya Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Jalan Damansara berdekatan Jalan Istana Lama, Bulatan Dato’ Onn berhampiran Bank Negara dan Jalan Cheras. – KOSMO! ONLINE