JAKARTA – Indonesia bakal menjadi negara Asia Tenggara pertama menganjurkan persidangan air terbesar dunia dengan acara tersebut bakal berlangsung di Pulau Bali pada 2024, lapor laman berita Suara.com.
Acara Forum Air Dunia (WWF) kali ke-10 itu secara tidak langsung, diharap dapat membantu meningkatkan jumlah pelancong ke pulau percutian tersebut.
“Di Asia Tenggara, kita menjadi negara pertama menganjurkan acara yang sebelum ini pernah berlangsung antaranya di Korea Selatan dan Jepun,” kata Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan, Basuki Hadimuljono.
Menurut beliau, acara yang dijadualkan berlangsung bermula 3 Jun 2024 itu akan terbahagi kepada 350 sesi dengan sasaran peserta delegasi serta pengunjung seramai 100,000 orang.
Ia juga akan dihadiri oleh pemimpin 12 ketua negara, 56 menteri, 172 buah negara dan 2,000 petugas media.
“Ini dapat membantu meningkatkan bilangan kemasukan pelancong sebanyak 100,000 orang tanpa melaksanakan sebarang promosi,” kata Basuki.
WWF akan mengetengahkan isu semasa seperti akses air bersih kepada masyarakat dan perkhidmatan awam serta sektor swasta yang berasaskan keuntungan.
Sementara itu, Gabenor Bali, I Wayan Koster berkata, pulau itu telah bersiap sedia untuk kembali menganjurkan acara antarabangsa berdasarkan pengalaman sebelum ini.
“Kami bersedia menganjurkan acara di peringkat global ketika tempoh masa pandemik serta menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa,” katanya. – Agensi