SUNGAI PETANI – Anggota tentera, Sarjan Mohd. Kamal Ramli, 41, yang maut akibat dihempap pokok ketika menyertai operasi di Hutan Belum, Gerik di Perak kelmarin sempat berpesan kepada anak sulungnya supaya kanak-kanak itu menjaga ibu, adik dan datuknya.
Isteri arwah, Siti Nafishah Mohd. Nasir, 29, berkata, suaminya memanggil anak mereka, Muhammad Nabil Khalaf, 5, dan meninggalkan pesanan tersebut ketika dia membantu lelaki itu membuat persiapan sebelum melapor diri di tempat kerja pada 29 Jun lalu.
Arwah Mohd. Kamal merupakan anggota Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.
“Dia (arwah suami) beritahu tunggu abang pulang pada 1 September nanti.
“Kemudian dia panggil anak sulung kami (Muhammad Nabil) dan berpesan supaya menjaga ibu, adik dan datuknya dengan baik,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Taman Ria Jaya di sini kelmarin.
Menurut Siti Nafishah, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa arwah suaminya daripada Muhammad Nabil yang terdengar perbualan antara datuknya, Mohd. Nasir Shahul Hamid, 63, dan bapa saudaranya, Koperal Mohd. Nizam, 27.
“Dia jerit ibu, ayah dah meninggal dunia semasa kami berada di rumah pada pukul 10 pagi. Adik saya (Mohd. Nizam) menghubungi bapa kerana dia bertugas di tempat sama dengan arwah suami di Kem Sungai Ara.
“Perbualan itu kemudian didengari Muhammad Nabil yang ketika itu berada bersama datuknya di ruang tamu. Dia berlari ke arah saya sambil menangis beritahu berita tersebut,” katanya.
Siti Nafishah yang juga anggota tentera berpangkat koperal dan bertugas di Kem Lapangan Terbang di sini turut mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Nur Fariman, 2. Pasangan itu menetap di Taman Kelisa Ria dan arwah berulang-alik bekerja di Pulau Pinang.
Sementara itu, ibu arwah, Shamsiah Awan Ludin, 75, berkata, dia menerima berita kematian anak keempat daripada tujuh beradik tersebut daripada pihak tentera pada pukul 11 pagi kelmarin sebelum bertolak dari Negeri Sembilan ke Kedah.
“Saya berasa sedih kerana kehilangan anak yang baik. Kali terakhir kami berjumpa semasa arwah singgah di rumah saya ketika dalam perjalanan untuk ke kursus di Johor Bahru pada Mac lalu,” katanya.
Jenazah Mohd. Kamal tiba pukul 1 pagi semalam dan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Raudatul Solihin, Taman Kelisa Ria.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi kelmarin, dua anggota daripada Batalion ke-2 RAMD maut selepas dihempap pokok ketika menyertai operasi ketenteraan di Hutan Belum, Gerik.
Turut terkorban ialah Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, yang berasal dari Perlis. -KOSMO! ONLINE