KUALA LUMPUR- Pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu perlu ditentukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembentukan kerajaan negeri baharu juga harus diterjemahkan atas semangat Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, calon UMNO atas nama Barisan Nasional (BN) telah memenangi sebanyak 15 kerusi bagi mengemudi kerajaan Sabah bersama rakan-rakan GRS lain.
“Perundingan bukan hanya harus dilakukan dalam rakan GRS tetapi kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka demi kepentingan Sabah.
“Kali ini kita menterjemahkan semua autonomi yang diberikan kepada UMNO dan BN Sabah untuk mereka (ADUN menang) tentukan Ketua Menteri baharu,” katanya dalam siaran langsung Facebook di sini tadi.
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus membela nasib rakyat negeri itu.
“GRS telah berbincang untuk menentukan hala tuju dan juga masalah-masalah lain dan kita akan memastikan kerajaan baharu ini akan terus membela nasib rakyat Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kemenangan mereka pada PRN berkenaan termasuklah rakyat negeri tersebut.
“BN Sabah ingin mengucapkan terima kasih ke atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah yang ingin berubah daripada kerajaan Warisan,” katanya. – K! ONLINE