PETALING JAYA – Teman lelaki kepada wanita yang disiasat kerana menghina agama Islam di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, tangkapan ke atas lelaki itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman semalam.
“Suspek wanita yang ditahan pada Sabtu lalu, permohonan sambung reman akan dibuat memandangkan tempohnya akan tamat esok.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara untuk cadangan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) di sebuah kelab di ibu negara.
Menerusi video itu, wanita berusia 28 tahun tersebut mendakwa dia beragama Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran.
Susulan kejadian itu, polis menahan wanita tersebut pada pukul 10.45 malam, 9 Julai lalu di Taman Jaya, Jalan Gasing di sini.
Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.. – KOSMO! ONLINE.