PENYANYI dan juga bekas anggota kumpulan T-ara, Ahreum menyifatkan kehamilan keduanya sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan hari lahirnya ke-28 tahun pada April lalu.
“Sebenarnya saya mula berasa pelik sejak sambutan hari lahir saya tempoh hari. Apa yang saya rasa, sama seperti yang pernah dialami ketika pertama kali mengandung,” katanya.
Berita gembira tersebut dikongsikan Ahreum tidak lama selepas timbul spekulasi mengatakan dia dan suaminya mungkin akan berpisah sejurus muncul dalam program
Between Marriage and Divorce. Lelaki itu juga didakwa sering bercakap kasar dengannya.
Kata penyanyi itu, kehidupannya sekarang berubah dan mereka semakin bahagia selain dia mendapat layanan yang baik daripada suaminya.
“Suami saya memasak untuk saya sekarang. Anak kedua ini adalah anugerah sebab segalanya di dalam rumah kami berubah. Kami bahagia sekarang. Ini bukan satu kesilapan. Kami dah terfikir tentang anak ketiga pun!” kata Ahreum lagi.
Penyanyi dan suaminya yang bukan orang industri menimang cahaya mata sulung pada Mei 2020 selepas berkahwin pada Oktober 2019.