fbpx

Kerajaan ada bukti kukuh kegiatan seludup minyak subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (tiga dari kiri) semasa hadir ke Majlis Korban Perdana Peringkat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala dekat Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mempunyai bukti yang kukuh mengenai pihak yang mendalangi kegiatan penyeludupan minyak masak peket subsidi ke sempadan Thailand.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan siasatan, kebanyakan kawasan di sempadan negara tersebut sentiasa menerima bekalan minyak masak dan ia dijual pada harga RM7 hingga RM8 sepeket.

Menurutnya, minyak masak tersebut dijual dalam kuantiti yang banyak malah ia juga masih dibungkus di dalam kotak dengan pembungkusan dari kilang di negara ini.

“Berdasarkan siasatan, kegiatan itu bukan dijalankan oleh sindiket penyeludupan kecil. Kesemua bekalan juga dipercayai datang terus dari kilang.

“Kerajaan sudah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pihak yang terlibat. Buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan perkara tersebut kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Korban Perdana Peringkat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala di sini hari ini.

Sehubungan itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menjelaskan, kerajaan sedia merombak keseluruhan sistem pengeluaran minyak masak peket bersubsidi bermula daripada pengilang sehinggal ke pengedar sekiranya penyelewengan terhadap barangan subsidi itu ke negara jiran terus berlaku.

Katanya, meskipun langkah tersebut dilihat berkemungkinan akan menjejaskan peluang perniagaan bagi sesetengah individu, namun kerajaan tetap prihatin terhadap nasib rakyat.

“Kerajaan memperuntuk sebanyak RM4 bilion untuk subsidi minyak masak peket dan jumlah tersebut akan rugi sekiranya bahan mentah itu terus diseleweng.

“Kita turut merancang pelan tindakan untuk mengatasi sementara masalah kekurangan bekalan minyak masak peket dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Tambah Annuar, kerajaan juta akan mengadakan perbincangan dengan 22 pengilang minyak masak untuk memaklumkan mengenai pendirian tegas kerajaan terhadap perkara itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI