fbpx

Elyana penat berpura-pura kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi, juga pelakon popular,  Elyana mengakui penat hidup berpura-pura kuat seperti yang sering dilihat umum selama ini.

Elyana berkata, dia juga bukanlah seorang insan yang sesuai dijadikan contoh oleh masyarakat terutama dalam berdepan ujian menghadapi penyakit kanser seperti sebelumnya.

“Selama ini orang anggap saya kuat, tapi sebenarnya tidak. Selama ini saya hanya berlakon menjadi kuat meskipun berpijak di bumi nyata, saya tidak kuat pun.

“Kepakaran saya ialah berlakon, jadi saya tunjuk kuat dan bahagia, namun sejujurnya saya tidak kuat dan bahagia.

“Siapa yang menjadikan saya sebagai contoh atau anggap saya ini seorang yang positif, mungkin sudah boleh lupakan sahaja semua itu.

“Saya sudah penat untuk berpura-pura dan tidak tahu untuk lakukan apa lagi,” luahnya menerusi siaran live (langsung) dalam Instagramnya.

Pada perkongsian sama, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 33, turut meluahkan rasa kesal apabila gagal mendapat sokongan daripada individu terdekat.

Pun begitu, penyanyi yang popular menerusi lagu Diriku Tapak Sulaiman itu tidak mendedahkan siapa individu yang dimaksudkannya.

“Saya sudah tidak boleh hidup lagi macam ini. Sama ada saya lari jauh-jauh dan tidak timbul atau telan sahaja semua sengsara. Tiada orang cuba faham, tetapi orang mempunyai rasa ingin tahu.

“Saya faham perasaan ingin tahu itu lebih kuat daripada ingin memahami. Saya cuba hendak bahagia, tetapi orang negatif masuk campur, saya penat sebab cuba untuk kuat dan sembuh, untuk positif.

“Tetapi orang sekeliling ini cuba menjatuhkan saya. Tipu kalau saya tidak cari jalan keluar, saya juga sudah berjumpa dengan pakar psikiatri, tetapi tetap tidak jumpa jalan keluar.

“Saya sudah tiada keinginan lain lagi, walaupun pergi ke tempat yang menarik, tetapi jiwa tetap rasa tidak bahagia,” katanya lagi.

Sementara itu, pada sesi live berbeza, Elyana merancang untuk keluar bercuti, namun belum membuat keputusan sama ada ingin memilihi destinasi dalam atau luar negara.

Elyana memberitahu, dia ingin mencari ketenangan diri dan merancang untuk bertolak secepat mungkin.

“Saya perlu juga pergi malam ini untuk mencari semula siapa diri saya, saya ingin mencari ketenangan saya balik,” katanya.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 11, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI