SAUDARA PENGARANG,
CERITA tentang penipuan ada di mana-mana. Tidak hanya berlaku di premis nombor ekor, ataupun menerusi panggilan telefon.
Hatta di masjid dan surau pun, modus penipuan boleh berlaku secara terang-terangan.
Mangsanya tidak terkira. Bermula dari orang berduit yang bekerja di bangunan megah sampailah kepada pak cik dan mak cik yang mengerjakan sawah di kampung.
Nilai kerugian pula bukannya sedikit. Kalau kurang bernasib baik, nilainya menjangkau sehingga ratusan ribu ringgit.
Bagaimanapun, sudah menjadi satu trend sejak kebelakangan ini apabila agama dijadikan modal untuk ‘diniagakan’ bagi mengaut keuntungan.
Pihak tidak bertanggungjawab akan melakukan apa sahaja.
Bermula dari isu memohon sumbangan ‘palsu’ untuk membina masjid dan surau sehinggalah kepada promosi ‘tipu’ bagi pelaksanaan ibadah korban dan umrah.
Semuanya diniagakan atas nama agama bagi lebih menyakinkan orang ramai.
Percakapan mereka lembut, sopan santun dan diselitkan dengan ayat-ayat al-Quran.
Mereka akan sebar kebaikan sebelum meletakkan pancing.Maka, ramai yang terperdaya atas nama mengejar pahala sedangkan semua yang ditawarkan itu hanya palsu.
ABANG HALIM
Kota Tinggi, Johor