BANGKOK – Pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag menggalas tugas berat dalam usahanya mengembalikan kegemilangan pasukan itu menjelang saingan musim baharu yang bermula bulan depan.
Bagaimanapun, beliau tidak bimbang dengan cabaran yang bakal dihadapi selain berjanji untuk memastikan The Red Devils kembali menampilkan aksi seperti dimahukan peminat setia.
Ten Hag juga sedia untuk mencurahkan segala kepakaran yang dimiliki bagi membantu United menampilkan corak permainan menyerang, sama seperti era di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.
“Saya tahu mereka (penyokong) sangat komited dengan kelab dan sedang menunggu kebangkitan United. Ia sesuatu yang bagus dan membuatkan saya lebih bermotivasi untuk membantu pasukan ini.
“Saya berjanji untuk memastikan United menampilkan corak permainan positif dan lebih menyerang. Saya akan pastikan pasukan akan lebih proaktif ketika bertahan dan menyerang,” katanya.
United kini sedang melakukan aksi jelajah pramusim ke Thailand dan Australia dengan beberapa perlawanan persahabatan sudah dirancang dengan menentang Liverpool, Melbourne Victory, Crystal Palace dan Aston Villa.
“Tugas saya sekarang adalah untuk membentuk pasukan terbaik sebelum musim baharu bermula. Saya perlu pastikan semua pemain tahu dan faham mengenai falsafah bola sepak yang ingin diterapkan,” ujar Ten Hag. – AGENSI