LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi gambaran pemain baharu, Fabio Carvalho memiliki kemampuan untuk mengisi tempat Roberto Firmino sebagai ‘false nine’ pada masa hadapan.
Meskipun kemampuan Carvalho bersama The Reds masih belum diuji, namun Klopp percaya bekas pemain Fulham itu memiliki kriteria yang diperlukan untuk menjadi pemain sandaran Liverpool.
Beliau berkata, sejak memantau perkembangan pemain itu bersama pasukan lamanya sebelum ini, Carvalho membuktikan dia adalah pemain yang unik kerana mampu bermain lebih daripada satu posisi.
“Apabila saya melihat dia beraksi, ia membuatkan saya gembira dengan permainan ditampilkan. Dia boleh beraksi di mana-mana posisi dan sangat sesuai dengan corak permainan Liverpool.
“Saya juga tertarik kerana posisinya sering berubah-ubah. kadang-kadang dia bermain di bahagian sayap dan ada masanya berada di belakang penyerang. Saya dapat lihat dia ada kemampuan beraksi sebagai ‘false nine’,” katanya.
Justeru, pengendali dari Jerman itu mengakui beliau ada perancangan tersendiri bagi memastikan Carvalho cepat menyesuaikan diri dengan falsafah bola sepak The Reds, sekali gus boleh mewarisi posisi Firmino.
“Saya ada perancangan masa pendek dan panjang, jadi saya mahu dia menyesuaikan diri dengan pasukan terlebih dahulu. Jika dia sudah sebati dengan pasukan ini, ketika itulah namanya akan disebut-sebut,” ujar Klopp. – AGENSI