TURIN – Paul Pogba sudah mula melupakan episod kecewa bersama Manchester United dan kini memburu permulaan musim baharu bersama Juventus pada saingan Serie A di Itali.
Bintang antarabangsa Perancis tersebut juga menyerlahkan rasa hormat kepada Juventus apabila dirakam menolak permintaan salah seorang penyokong untuk mendapatkan tanda tangannya pada jersi The Red Devils.
Menerusi rakaman itu, Pogba dilihat menunjukkan isyarat jari membawa maksud tidak kepada salah seorang peminat yang menghulurkan jersi United.
“Kedua-dua pihak menunjukkan rasa hormat,” menurut salah seorang penyokong yang mengulas mengenai tindakan Pogba berkenaan.
Menerusi dokumentari The Pogmentary, pemain itu mengundang kemarahan peminat Red Devils terutamanya selepas melihat caranya melayan tawaran kontrak lanjutan untuk kekal di Man. United.
Malah Pogba juga enggan menerima tawaran daripada Manchester City dan Paris Saint-Germain bagi membolehkannya kembali sertai Juventus, kelab yang pernah mengangkat namanya sebagai bintang dunia.
Bagaimanapun, kepulangan semula Pogba turut menyaksikannya menerima pemotongan gaji dan dilaporkan hanya menerima bayaran £160,000 (RM852,072) seminggu, kurang hampir separuh berbanding tawaran yang dibuat oleh Man. United.
Ketika mewakili Juventus sebelum ini, Pogba melakukan 178 penampilan dan menjaringkan 34 gol. – AGENSI