LONDON – Meskipun tiada dalam senarai calon bergelar juara pada kejuaraan Grand Slam Wimbledon, namun jaguh Kazakhstan, Elena Rybakina membuktikan dia seorang pencabar terhebat sejurus menumbangkan pilihan ketiga dari Tunisia, Ons Jabeur di pentas final semalam.
Pemain berusia 23 tahun itu memahat sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama dari Kazakhstan memenangi gelaran Grand Slam selepas bangkit mencatat kemenangan 3-6, 6-2, 6-2 ke atas Jabeur.
Rybakina yang turun selaku pemain pilihan ke-17 mengakui, dia tidak menjangka mampu mara ke pentas final, apatah lagi menjulang gelaran Wimbledon.
“Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya ketika ini kerana saya sangat gementar sebelum melangkah ke gelanggang ini. Saya sangat gembira akhirnya selesai.
“Sebenarnya saya tidak pernah merasakan seperti ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan kepada semua yang hadir pada hari ini.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Jabeur untuk turun dengan perlawanan yang sangat hebat dan permainan yang menakjubkan,” katanya.
Dalam pada itu, Rybakina turut menjelaskan kemenangannya itu adalah usaha kerja keras pasukannya yang memberi bantuan selama ini.
“Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya. Tanpa mereka sudah tentu saya tidak dapat menggenggam gelaran ini.
“Terima kasih kepada jurulatih saya, penaja saya, semua orang. Paling penting ialah ibu bapa saya. Mereka tiada di sini, jadi saya minta maaf. Tanpa ibu bapa saya pasti saya tidak akan berada di sini. Terima kasih sekali lagi,” ujarnya. – AGENSI