NEW DELHI – Aksi seorang pencuci pakaian yang sedang menyeterika baju menjadi tular di media sosial apabila dia dirakam meludah ke atas pakaian tersebut, lapor laman berita India Today.
Dalam klip video pendek itu, kelihatan seorang lelaki warga emas sedang menggosok pakaian di samping bekas berisi air di tangannya.
Dia kemudiannya dilihat meneguk air dan meludahkannya pada pakaian. Tiada maklumat lanjut mengenai nama warga emas itu dan lokasi premis tersebut.
“Penyembur air semulajadi,” tulis keterangan pada siaran itu.
Video itu mendapat lebih tiga juta tontonan selepas dikongsi di Instagram dengan rata-rata netizen meluahkan rasa jijik dan marah mereka di ruangan komen. – Agensi