SEBERANG PERAI – Sepasang kekasih cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 4.5, Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, Butterworth di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 12.10 tengah malam.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu secara lawan arus bertembung dengan sebuah kereta jenis Volkswagen.
“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu dan penumpang Volkswagen yang masing-masing berusia 27 dan 25 tahun mengalami kecederaan pada bahagian perut.
“Kedua-duanya menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ). Walaubagaimanapun, kita masih belum menerima sebarang laporan polis yang dibuat oleh pemandu Triton,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE