fbpx

Ruffedge buktikan masih ‘laku’, album baharu menyusul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANPA promosi yang gah namun Ruffedge tetap berjaya melunaskan persembahan menerusi Konsert Ruffera pada 2 Julai lalu.

BAGAI memiliki kuasa magis, kumpulan vokal hip-hop dan R&B terkenal, Ruffedge ‘mengikat’ peminat untuk kekal setia bersama sepanjang usia 24 tahun usia karier seni.

Buktinya, sejak membuat kemunculan semula pada 2018, tiket empat buah konsert kumpulan yang dianggotai oleh Cat Farish, 48, Zain, 44, Azan, 48, Mode, 46, dan Sein, 39, itu habis terjual dengan mudah.

Begitu juga dengan jualan tiket konsert sulung mereka, Ruffera di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang berlangsung pada 2 Julai lalu. Walhal konsert berkenaan pernah ditangguh selama dua tahun kerana Covid-19.

“Sepatutnya konsert kami diadakan pada Mac 2020, tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), konsert ini terpaksa ditangguhkan biarpun tiket telah habis dijual dan wang penonton dikembalikan.

“Jadi, kami agak bimbang pada peringkat permulaan. Sudahlah konsert ditangguh begitu lama, ditambah tiada promosi, kami bimbang tiada penonton yang akan hadir.

“Alhamdulillah, rasa lega kerana sangkaan kami meleset. Walaupun peminat terpaksa menunggu lama tetapi tiket konsert Ruffera di DFP habis terjual dan seluruh dewan penuh,” ujar Sein.

RUFFEDGE masih relevan, buktinya setiap konsert mereka pasti ‘sold out’ biarpun tanpa promosi yang hebat.

Lebih mengharukan, rata-rata peminat yang hadir sudah memiliki komitmen seperti berkeluarga, tetapi ada yang sanggup meninggalkan anak di rumah demi menonton Ruffedge.

“Kebanyakan peminat yang membesar dengan lagu-lagu kami kini sudah berkahwin dan memiliki karier. Jadi, usaha mereka untuk hadir ke konsert ini cukup membuatkan kami rasa sangat dihargai.

“Sebenarnya, kami kembali dan bekerja keras demi peminat. Mereka kata, dahulu ketika waktu remaja tiada duit, sekarang sudah bekerja dan mampu untuk menonton konsert serta membeli album Ruffedge, jadi kami buatlah,” kata Azan.

Menyentuh tentang persembahan konsert Ruffera, Ruffedge yang mendendangkan 13 buah lagu pada malam berkenaan membuktikan mereka masih berbisa.

Memulakan persembahan dengan lagu Tiada Lagi Cinta, Seperti Mereka, Lemas, Matinya Sebahagian Jiwa, Bila Rindu dan lagu wajib penutup persembahan iaitu Khayalan, Ruffedge berada di kelas tersendiri.

TERTANGGUH selama dua tahun, Ruffedge bersyukur Konsert Ruffera di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini tetap mendapat sokongan padu peminat.

Paling menarik perhatian adalah persembahan solo termasuk medley lagu nyanyian semula Azura (Datuk Jamal Abdillah), Suraya (Headwind), Rozana (Search) dan Tipah

Tertipu daripada album kedua mereka, Defined menjadikan konsert tersebut berbeza.

Sementara untuk segmen solo pula, Zain menyanyikan lagu April Shower, Cat Farish (Papa Jahat), Sein (No One Else Come Close), Azan (Sabar Menanti) dan Mode (Still).

Album

Dalam perkembangan terbaharu, selepas 17 tahun akhirnya Ruffedge akan muncul dengan sebuah album baharu yang memuatkan 12 buah lagu. Kali terakhir mereka muncul dengan album pada 2005 iaitu Ruffera.

Sein berkata, album berkenaan mula dirakam pada 2019 dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan ekoran pandemik Covid-19.

“Album ini paling lama ambil masa rakaman tetapi apabila difikirkan kembali ada hikmahnya kerana kami mempunyai masa untuk membuat penelitian dan merombak semula demi hasil yang terbaik,” kata Sein.

Ditebak bagaimana mereka mengumpulkan keyakinan untuk muncul dengan sebuah album penuh, jelas Sein tujuan asal bukanlah untuk mengaut keuntungan, sebaliknya sebagai hadiah buat peminat.

PERSEMBAHAN Ruffedge menerusi konsert mereka baru-baru ini turut menyaksikan kemampuan vokal solo anggota kumpulan itu.

“Sejak 2018 kami sudah mengadakan empat buah konsert ‘sold out’, jadi kami rasa perlu berikan peminat sebuah album baharu sebagai penghargaan. Jika ada keuntungan, itu satu rezeki,” kata Sein.

Menyambung bicara tentang album baharu, sudah menjadi tradisi Ruffedge membikin album sendiri termasuk dalam penciptaan lagu sejak album pertama mereka.

“Album baharu ini terdapat banyak kejutan dan eksperimen. Misalnya lagu-lagu dibikin secara spontan di studio secara bersama. Pada masa sama masih mengekalkan identiti muzik kami.

“Kami juga berkolaborasi dengan Lah Ahmad yang kini merupakan penyanyi solo dalam sebuah lagu. Apa yang boleh saya katakan, kami masih menikmati proses rakaman seperti waktu dahulu,” tutup Azan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI