AKTOR terkenal, Brad Pitt mengesahkan dirinya menghidap penyakit prosopagnosia, iaitu suatu keadaan yang menyebabkan dirinya tidak mampu mengenali dan membezakan wajah seseorang.
Menerusi wawancara bersama Majalah GQ, Pitt mendakwa sudah lama memberitahu bahawa dirinya sukar untuk mengenali dan membezakan wajah orang lain sehingga dia dituduh sebagai sombong.
Bagaimanapun, selepas melakukan pemeriksaan dan ujian oleh pakar kesihatan, ternyata bekas suami kepada pelakon Angelina Jolie itu menderita prosopagnosia.
“Saya pernah memberitahu orang ramai tentang masalah ini, namun tiada siapa yang percaya. Saya menjadi takut apabila memikirkan orang-orang akan menganggap saya sombong dan tidak mahu bergaul.
“Hakikatnya saya mempunyai masalah untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang ramai,” dedahnya.
Gara-gara masalah dialaminya, pelakon filem Mr. & Mrs. Smith itu kerap mengasingkan diri dari masyarakat dan juga keluarga sehingga menimbulkan kerinduan terhadap mereka.
“Saya selalu berasa sendirian dalam hidup. Saya rindukan pelukan teman-teman dan juga keluarga,” katanya.