BERGELAR salah seorang pelakon kelas A dalam industri lakonan di Korea Selatan, aktres popular Han Ji-min sanggup melakukan apa sahaja demi menghidupkan watak.
Dalam program Yoo Quiz On The Block, pelakon itu mendedahkan, dia sanggup belajar merokok semata-mata untuk menjadikan wataknya dalam filem Miss Baek (2018) realistik.
Kata Ji-min, dia rela merokok kerana pada awalnya filem berkenaan sukar mendapatkan pelabur kerana membawakan kisah tentang bekas banduan yang berkawan dengan seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.
“Saya tahu apa imej yang penonton mahu saya bawa dalam filem ini. Tetapi pelabur sangat risau tentangnya kerana respons penonton terhadap pelakon yang bawakan watak itu.
“Jadi pada waktu itu, saya tahu diri saya harus lakukan sesuatu untuk membuktikan kepada mereka (pelabur). Kalau saya nampak macam bukan perokok sebenar, jangkaan dan penerimaan penonton akan suram,” katanya.
Justeru, Ji-min mengakui, dia mula belajar merokok dan tabiat tersebut dilakukannya setiap hari termasuklah ketika mencuci pinggan mangkuk.
Hasil kegigihannya, aktres itu dinobat sebagai penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Blue Dragon Film Awards, Baeksang Arts Awards dan Korean Association of Film Critics Awards pada tahun sama.