PETALING JAYA – Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi mahu bertemu dengan pemilik kelab komedi yang terkait dengan isu seorang wanita didakwa menghina Islam, bagi membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi video yang dimuat naik pada Facebook, beliau memberitahu tidak boleh menerima kenyataan yang dibuat oleh pihak kelab tersebut sekali gus mahu mendapatkan penjelasan lanjut dengan mereka.
“Saya mahu berjumpa Selasa ini dan mahu mereka dengan secara terbuka untuk membuat permohonan maaf. Saya tidak boleh terima apabila mereka mengatakan tidak tahu, dia mesti ada peraturan.
“Kandungan untuk jemputan (bercakap), ada peraturannya (sebagai contoh) tidak boleh bercakap perkara ini atau tidak boleh sentuh perkara ini. Jadi saya hendak jumpa mereka selepas cuti hari raya, pastikan buat permohonan maaf secara terbuka supaya ada satu penyesalan di situ,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Malaysia supaya membuat laporan polis secara besar-besaran serta menyifatkan, isu tersebut suatu penghinaan sangat berat kepada agama Islam.
“Saya tidak kisah kalau dia orang jalanan buat suka-suka secara peribadi, buka tudung dan buka aurat. Itu terpulang tetapi ini adalah stand up comedy (komedi solo), nak tunjuk bahan lawak.
“Justeru saya lihat ia menjadi kemarahan kepada kita dan bagi saya ia kurang ajar serta tindakan mencemarkan nama baik Islam sedangkan agama Islam tidak didik kita membuka aib orang,” katanya.
Terdahulu, tular seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) sekali gus menerima kecaman daripada orang ramai terutama umat Islam.
Berikutan itu, wanita tersebut dikenali sebagai Siti Amira Natasha Abdullah berusia 28 tahun dilaporkan telah ditahan polis pukul 10.45 malam tadi. -KOSMO! ONLINE