fbpx

Khilaf Nam Ron jadi bapa garang, didik anak dengan rotan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEK membesar tanpa seorang ayah, Nam Ron akui hidupnya terkesan sehingga bimbang jika dirinya gagal menjadi bapa yang baik sekali gus mengamalkan didikan keras terhadap anak sulungnya.

PETALING JAYA – “Saya menjadi seorang bapa yang tegas dan garang. Ada masa tekanan dalam mencari rezeki saya lepaskan padanya (anak). Rumah tangga juga sentiasa bergolak.”

Demikian luahan yang dikongsi pelakon Nam Ron tentang sikapnya suatu ketika dahulu menerusi coretan yang dikarang sempena sambutan ulang tahun kelahiran anak sulungnya, Demi Kaseh.

Ujar pemilik nama lengkap Shahili Abdan, 53, itu, sewaktu puteri sulungnya yang kini berusia 16 tahun itu dilahirkan, dirinya masih lagi terumbang-ambing mencari tujuan sebenar dalam kehidupan sehingga sedikit sebanyak turut mengheret anaknya dengan masalah hidup.

“Ini anak sulung saya, Demi Kaseh. Saya bagi nama Melayu kerana saya orang Melayu. Apa yang penting bagi saya adalah nama yang baik tidak kira apa bahasanya.

“Dia lahir ketika saya masih mencari tujuan sebenar kehidupan. Sikap keangkuhan masih menebal. Saya percaya jika mahukan sesuatu kita kena rajin berusaha dengan bersungguh-sungguh.

“Kehidupan saya ketika itu sangat sukar. Bekerja siang dan malam untuk mengubah kehidupan supaya lebih senang,” tulisnya.

Kongsi Nam Ron lagi, kehidupannya yang sukar menjadi semakin getir selepas dia mengambil keputusan berhenti menjadi pensyarah sambilan ketika Kaseh baru berusia empat tahun.

Semuanya gara-gara sikap sendiri yang suka melawan.

Kesannya, dia berubah menjadi seorang bapa yang tegas dan garang. Malah tekanan yang dilaluinya dalam hidup dilepaskan pada Kaseh selain rumah tangganya turut porak-peranda.

“Saya mendidiknya dengan rotan di tangan. Menakut-nakutkannya. Sejak berusia empat tahun lagi saya sudah mengajarnya bahawa kehidupan ini sukar, dunia ini bukan untuk orang yang lemah.

“Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Jadi saya tidak punya pengalaman membesar dengan seorang ayah. Perkara itu membuatkan saya takut gagal menjadi seorang bapa.

“Sehingga saya lupa Allah SWT adalah sebaik-baik perancang dan Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik guru,” katanya.

Kesan didikan tegas terhadap anaknya, pengarah filem One Two Jaga itu memberitahu Kaseh membesar dengan menjadi seorang remaja yang takut untuk mencuba dan tiada keyakinan dalam diri.

Nam Ron dapat melihat bagaimana anaknya cuba melakukan sesuatu untuk membuatkan dirinya bangga walaupun dengan hanya mengada-adakan sesuatu yang tiada.

“Setelah saya mengenal kehidupan hakiki, mengenal diri sendiri dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT, alhamdulillah, saya berubah menjadi seorang bapa yang pengasih dan penyayang.

“Tiada lagi kekerasan dalam mendidik. Saya mendidiknya dengan kata-kata. Mengajarnya erti kehidupan sebenar, mengenal sifat-sifat Allah SWT dan nama-nama-Nya serta tujuan sebenar kehidupan ini.

“Hari ini dia genap berusia 16 tahun dan masih jauh jalan kehidupan yang akan ditempuhinya. Saya bangga dengan kakak dan selamat hari jadi,” ucapnya.

Sekadar info, Nam Ron yang memulakan kerjaya sebagai penggiat teater mendirikan rumah tangga bersama pelakon June Lojong pada 2004 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI