fbpx

Demi amanat arwah ibu, DJ Lin ketepikan sakit balik Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARWAH ibu DJ Lin menghembuskan nafas terakhir pada 23 Jun lalu akibat komplikasi penyakit buah pinggang.

PETALING JAYA – Penyampai radio popular, DJ Lin bersyukur dapat menunaikan amanat ibunya, Allahyarham Puteh Jantan supaya semua anak cucu berkumpul di rumah mereka di Larkin, Johor bagi meraikan Aidiladha.

Katanya, dia sanggup meredah kesesakan untuk pulang ke kampung kelmarin walaupun kurang sihat bagi memastikan tidak ketinggalan menyediakan juadah secara goyong-royong seperti ketika arwah ibunya masih hidup.

“Arwah seolah-olah sudah tahu akan pergi apabila meninggalkan pesanan kepada kakak sulung meminta kami 10 beradik meraikan Aidiladha di rumah seperti rutin tahun-tahun sebelum ini.

“Sejak kecil memang mak masak sendiri setiap kali Syawal mahupun raya haji dengan dibantu anak-anak sampai kami sudah berkeluarga pun tradisi ini tetap diteruskan.

“Saya pun tak sangka itu pesanan terakhir emak. Kami tahu amanat tersebut sebagai ingatan untuk kami 10 beradik terus berkumpul dan bersatu hati walaupun emak sudah tiada.

“Pada masa sama arwah mahu rumah pusaka tinggalannya turut menjadi tempat kenduri serta apa jua majlis. Buat masa ini adik kesembilan yang belum berkahwin tinggal di sini bersama seorang kakak kami yang OKU pendengaran.

“Sebab itu saya teruja untuk balik kampung. Bagai terasa mak sentiasa di sisi kami. Sepatutnya saya dimasukkan ke hospital berikutan masalah tekak, namun tidak mengapa saya tangguhkan dulu urusan tersebut demi memenuhi pesanan emak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, pemilik nama penuh Roslinda Abdul Majid itu kehilangan bonda tersayang yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit buah pinggang pada 23 Jun lalu.

Pengurus Besar Suria FM itu mengakui ketiadaan insan paling bermakna dalam hidupnya bagai hilang separuh nyawa, apatah lagi ibu menjadi tempat berkongsi suka duka sepanjang melayari kehidupan.

“Sebelum ini saya tak dapat bayangkan perasaan menyambut Aidiladha tanpa mak. Tiap kali kenduri, tambah-tambah hari raya memang mak paling ligat di dapur. Emak suka menjamu orang, hatta ketupat pun wajib anyam sendiri.

“Ayam masak merah, rendang daging, opor ayam, kari kambing, sambal jawa hingga ke kek marble dan kuih muih semua air tangan mak. Biarpun hari ini perasaan sayu makin terasa, kami bersyukur anak menantu dan cucu dapat beramai-ramai ziarah rumah baharu mak.

“Suntikan semangat daripada mak adalah sumber kekuatan saya selama ini. Perjuangan lebih 22 tahun dalam arena penyiaran radio juga diiringi doa seorang ibu yang menyaksikan tangis dan tawa anaknya ini.

“Besar pengorbanan mak membesarkan kami. Takkan terbalas segala jasanya. Bagi kami, mak akan sentiasa ada dalam hati serta ingatan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Kagum dengan semangat juang insan kesayangannya, DJ Lin mengakui walau melalui kesakitan akibat penyakit dihadapi, ibunya sentiasa berfikiran positif dan langsung tiada keluhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI