fbpx

Budak tiga tahun hilang ditemui lemas dalam parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga ditemui lemas dalam parit pagi tadi selepas dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Kampung Kuridak, Gadong, semalam. - FOTO: IHSAN POLIS

BEAUFORT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga ditemui lemas dalam parit pagi tadi selepas dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Kampung Kuridak, Gadong, semalam.

Mangsa, Muhammad Qays Izhar Abd Halim, 3, ditemui oleh pasukan operasi kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang pada pukul 10.23 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jam 10.30 pagi, semalam.

Katanya, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

“Pada pukul 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa ditemui penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Yusoff Zaki berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort di sini untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, di sini, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

Menurutnya, mangsa dikhuatiri terjatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.

Yusoff Zaki menmaklumkan, usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI