BALING – Kalangan penduduk yang terjejas ekoran kejadian kepala air dan banjir kilat di Kupang minggu lalu menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Raudhatul Falah di Kampung Iboi, di sini hari ini.
Sebahagian jemaah terdiri daripada mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai setelah rumah masing-masing lenyap dan musnah dalam kejadian itu.
Kira-kira 300 jemaah menunaikan solat sunat tersebut termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dengan diimamkan Timbalan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kariah Kampung Iboi, Mohammad Zawawi Ibrahim.
Salah seorang mangsa banjir yang hadir ke masjid ialah Abdul Rahman Said, 71, yang kehilangan isteri, Salmah Mat Akib, 53, serta anak tiri, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23.
Menurut Abdul Rahman, suasana sambutan hari raya kali ini suram dengan ketiadaan isteri dan dua lagi ahli keluarganya itu.
“Kali ini saya terpaksa beraya di PPS kerana rumah pun lenyap terus dalam kejadian tempoh hari. Sambutan hari raya tahun ini amat berbeza kerana tiada sebarang persiapan dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, sebahagian penduduk meluahkan perasaan gembira apabila dapat menggunakan jambatan sementara yang siap pada semalam untuk digunakan ke masjid.
Kerja-kerja membina jambatan sepanjang 27.43 meter dan lebar 5.49 meter itu dilakukan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota tentera. – KOSMO! ONLINE