fbpx

Banjir Baling : Proses pembersihan baru 60 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk mengeluarkan barangan yang rosak akibat ditenggelami banjir lumpur dalam kejadian kepala air di Kupang, Isnin lalu.

BALING – Kerja-kerja membersihkan rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian kepala air dan banjir di Kupang di sini baru mencecah 60 peratus.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ia melibatkan 38 kampung dan taman perumahan di situ.

Katanya, kerja-kerja pembersihan pada ketika ini hanya membabitkan bahagian dalam rumah yang dimasuki air berlumpur.

“Proses pembersihan ini dijangka mengambil masa paling cepat tiga bulan, tidak termasuk kerja membaiki kemudahan lain yang rosak.

“Kita akan cuba bantu semua mangsa dan lihat apa keperluan yang mereka perlukan, cuma saya harap penduduk sabar sementara bantuan sampai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul Azeez turut menganggarkan kerugian keseluruhan yang dialami akibat tragedi itu melebihi RM100 juta termasuk kerosakan infrastruktur seperti jambatan.

“Banyak jambatan kecil dan fasiliti lain berhampiran Sungai Kupang dekat Kampung Iboi terutama di kawasan rekreasi Lata Celak musnah.

“Malah, untuk mangsa pun kerugian mereka sekitar RM30 juta melibatkan barangan elektrik, perabot dan sebagainya. Sebab itu kami kini sudah mula mengedarkan peralatan asas kepada mangsa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI