fbpx

Rakyat Jepun berduka kematian Shinzo Abe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan Yamagami berkeliaran di kawasan belakang tempat duduk Abe sebelum mendiang naik ke pentas untuk membuat ucapan. - Daily Mail

TOKYO – Rakyat Jepun berkabung di atas kematian mengejut bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe yang menjadi mangsa pembunuhan bermotifkan dendam kelmarin.

Jasad pemimpin itu dibawa meninggalkan sebuah hospital di Kashihara, barat Jepun menjelang pukul 6 pagi semalam menuju ke Tokyo untuk upacara pengebumian.

Abe yang merupakan perdana menteri Jepun paling lama berkhidmat, meninggal dunia selepas  ditembak oleh seorang pesara tentera laut ketika me­nyampai ucapan dalam kempen politik di wilayah Nara kelmarin.

Beberapa pegawai berkata, tiada ugutan dibuat terhadap Abe. Beliau berkempen untuk parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP) ketika  ditembak.

LDP dan beberapa parti sekutu lain berkata,  mereka akan meneruskan kempen sebelum pilihan raya tempatan diadakan hari ini. Pakatan berkenaan yang dikenali Komeito, dijangka mengukuhkan majoriti mereka di Parlimen.

Mendiang Abe, 67,  berasal keluarga ahli politik. Beliau menjadi perdana menteri paling muda  selepas Perang Dunia Kedua  apabila mengambil alih kuasa buat kali pertama pada tahun  2006 ketika berusia  52 tahun.

Abe terkena dua das tembakan yang menuju tepat pada  leher dan dada sehingga menyebabkan pendarahan serius serta degupan jantung terhenti.

Beliau  yang dikejarkan ke Hospital Universiti Perubatan Nara menggunakan helikopter, disahkan meninggal dunia  pukul 5.30 petang (waktu tempatan). 

Suspek yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami pula dipercayai bekas anggota pasukan tentera  maritim Jepun.

Yamagami dilaporkan meninggalkan pasukan itu pada 2005.

Lelaki berusia 41 tahun itu melepaskan tiga das tembakan ke arah Abe semasa beliau sedang berucap di atas pentas.

Polis mengesahkan bahawa  Yamagami mengaku menembak bekas perdana menteri itu dengan menggunakan senjata buatan sendiri.

Menurut suspek, dia berdendam dengan sebuah organisasi tertentu dan percaya Abe adalah anggota pertubuhan tersebut.

Polis bagaimanapun tidak mendedahkan nama pertubuhan itu.

Polis turut merampas beberapa senjata buatan sendiri  yang lain di rumah suspek.

Dalam pada itu, kecekapan pasukan keselamatan Abe dipertikaikan  selepas rakaman kejadian tembakan itu menunjukkan mendiang sangat terdedah kepada serangan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI