fbpx

Suku akhir sasaran minimum Soon Huat-Shevon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOON HUAT (kiri) dan Shevon akan menghadapi kejohanan seterusnya iaitu Terbuka Singapura bermula 12 hingga 17 Julai ini. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menjadikan pusingan suku akhir sebagai sasaran tetap dalam setiap kejohanan selepas ini dalam usaha melangkah ke tahap lebih tinggi.

Gandingan yang berada pada ranking ke-15 dunia itu masih belum dapat melepasi saingan suku akhir dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 ke atas sepanjang kempen musim ini.

Terbaharu, Soon Huat-Shevon juga terpaksa akur tersingkir di pusingan suku akhir pada kejohanan Malaysia Masters selepas tewas 10-21, 14-21 kepada juara dunia dua kali dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong semalam.

Justeru, Shevon berkata, mereka akan meletakkan sasaran minimum suku akhir pada setiap kejohanan bagi mencerahkan peluang mereka bertemu beregu-beregu yang berada dalam kelompok empat teratas dunia.

“Sasaran kami selepas ini adalah untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir dalam setiap kejohanan. Bagi saya, suku akhir adalah peluang terbaik untuk jumpa empat beregu terbaik dalam kejohanan.

“Kelompok empat beregu terbaik itu boleh dianggap sebagai musuh kami kerana halangan utama kami sekarang adalah di suku akhir. Jika kami boleh pecahkan halangan itu, barulah kami ada peluang melangkah lebih jauh,” katanya.

Mengulas kekalahan kepada Siwei-Ya Qiong, pemain berusia 29 tahun itu mengakui, lawan mereka memberikan tekanan cukup tinggi sepanjang perlawanan apabila agresif melakukan serangan demi serangan.

“Mereka bermain sangat pantas dan berbeza dengan pemain-pemain lain hingga menyebabkan kami tertekan. Sepanjang perlawanan itu, mereka asyik menyerang dan langsung tidak beri peluang kepada kami,” ujar Shevon.

Soon Huat-Shevon mendapat pengajaran cukup berharga ketika beraksi pada kejohanan Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters sebagai persiapan menghadapi Terbuka Singapura yang akan bermula 12 hingga 17 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI