PETALING JAYA – Sebuah video dikatakan menghina kesucian agama Islam melibatkan seorang wanita Melayu yang secara tiba-tiba menanggalkan tudung dan baju kurung dalam sebuah persembahan stand up comedy (komedi solo) baru-baru ini mendapat perhatian ramai termasuk pelaku seni tempatan.
Menerusi video yang tular, seorang wanita pada awalnya tampil di pentas lengkap berbaju kurung dan memakai tudung sebelum melepaskan hijab dan pakaiannya sehingga mendedahkan auratnya di hadapan audiens.
Sebelum melakukan perbuatan biadab tersebut, wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu bagaimanapun mengaku berketurunan Melayu, beragama Islam dan sudah menghafal 15 juzuk al-Quran.
Terpanggil memberi pandangan tentang perihal terbabit, pengarah yang juga penerbit drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali dengan nama Budak Ijat menegaskan, wanita itu hanya memalukan diri sendiri, bukan mengaibkan agama.
“Kalau tanya saya, dia bukan hina Islam tapi hina dirinya sendiri. Islam tak terjejas pun tapi intergriti diri sendiri yang tercalar.
“Sanggup membodoh dan menghina diri sendiri hanya semata-mata nak tunjuk dirinya liberal dan konon-konon terbuka. Sampah!,” coret pengarah drama rantaian, Nur itu menerusi Instagram.
Dalam pada itu, pelawak Shahrol Shiro, 38, menerusi Instagram miliknya bagaimanapun menyifatkan tindakan wanita berkenaan jelas menghina agama dan perbuatannya sudah melampaui batas.
“Nak buat komedi pun ada garisan batasnya. Lepasi garisan tersebut adalah mengina dan kamu telah menghina dengan menggunakan konteng agama Islam. Ini betul-betul sudah melampau,” tulisnya.
Shahrol turut menggesa siasatan dilakukan terhadap penganjur iaitu Crack House Comedy Club dan wanita itu selain tindakan tegas harus diambil pihak berwajib.
Pencetus Ummah (PU) Amin turut kesal dengan tindakan wanita yang dilihat secara terang-terangan telah menghina kesucian agama Islam ketika membuat persembahan tersebut.
Amin atau nama lengkapnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, perbuatan berkenaan sangat menyedihkan terutamanya apabila individu itu mendakwa dirinya seorang penghafal al-Quran.
“Sedih memang sedih. Tidak sangka ada manusia yang main-main dengan tudung, main-main bicara dalam keadaan mengatakan dirinya menghafal al-Quran.
“Buka baju di depan khalayak dan mereka bersorak. Apa hendak jadi dengan kita? Apa hendak jadi dengan umat Islam?,” katanya.
Selain Ijat, Shahrol dan PU Amin, perbuatan yang dianggap tidak bermoral tersebut turut mendapat perhatian ramai lagi golongan selebriti dan agamawan, termasuk Zoey Rahman, Datuk Hattan dan Firdaus Wong.
Terdahulu, dalam pada umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha esok, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penularan sebuah video menyaksikan seorang pelawak wanita menghina Islam ketika melakukan persembahan komedi dipercayai berlaku di sebuah kafe di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE