LISBON, Portugal – Seorang wanita berdepan kesakitan luar biasa kerana terlalu malu dan cuba menahan diri daripada kentut di hadapan teman lelakinya, lapor akhbar The Sun UK, kelmarin.
Mangsa yang merupakan seorang pesohor media sosial dari Brazil, mengunjungi festival muzik di Portugal bersama kekasihnya apabila perutnya berasa sakit dan pedih.
Vitória De Felice Moraes yang mempunyai 23.4 juta pengikut di laman Instagram, memuat naik gambar dia menggunakan kerusi roda semasa berada di sebuah lapangan terbang di Portugal sehingga mencemaskan peminatnya.
Gadis berusia 21 tahun itu berkata, dia mengalami kesakitan yang tidak tertanggung semasa berada di festival muzik, Rock di Rio Lisboa 2022.
Puncanya kerana dia cuba menahan kentut kerana sedang bersama teman lelakinya ketika itu.
“Ini mungkin kedengaran lucu tetapi perbuatan menahan kentut boleh menyebabkan gas toksis terkumpul di dalam badan sekali gus mengundang bahaya.
“Ia boleh mengakibatkan kesakitan pada pundi hempedu dan gejala sesak nafas,” kata Moraes.
Manusia normal biasanya kentut sehingga 15 kali sehari dan menghasilkan gas bersamaan dengan dua gelas minuman cola. – Agensi