KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) memerlukan sokongan dana lebih besar bagi memantapkan pasukan kebangsaan, terutama skuad hoki senior lelaki untuk meningkatkan kemampuan bersaing sengit di pentas Piala Dunia 2023 di India.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, pihaknya sudah merangka kertas kerja untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.
Menurut Subahan, dana itu akan digunakan sebaik mungkin oleh pihak MHC bagi memastikan prestasi Malaysian Tigers kendalian Arul Selvaraj berada pada tahap terbaik sebelum Piala Dunia bermula 13 hingga 29 Januari tahun depan.
“Ini bukan imbuhan wang ringgit kepada pemain, tetapi dana lebihan buat MHC. Kita nak guna pakai untuk memantapkan pasukan supaya kita tak kecundang di Piala Dunia nanti.
“Beberapa bulan ini amat penting dan kritikal, jadi kita mahu beri mereka pendedahan secukupnya. Kita tak mahu pasukan (dapat) No.15, No.16, kita nak mereka beri saingan yang hebat.
“Hoki kita ke-10 dunia. Tak mustahil kita boleh boleh berada di kedudukan kelapan dunia dan bersaing dengan pasukan-pasukan hebat, jadi kita perlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan melalui dana,” katanya.
Tambah Subahan, imbuhan tersebut bukan sahaja menjurus kepada skuad senior, tetapi ia turut memberikan manfaatkan kepada semua termasuk pasukan remaja yang akan menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2023.
Sebagai rekod, MHC mendapat hak penganjuran sebagai tuan rumah Piala Dunia Hoki Remaja 2023 yang akan dianjurkan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur penghujung tahun depan.