MANCHESTER – Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mungkin terpaksa mengubah perancangan musim depan ekoran tindakan Cristiano Ronaldo mahu berhijrah dalam jendela perpindahan kali ini.
Kapten Portugal itu didakwa telah memberitahu United untuk menerima sebarang tawaran memuaskan daripada mana-mana kelab yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Pengurus United, Erik Ten Hag perlu membawa masuk penyerang berkelas dunia bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo sekiranya pemenang lima Ballon d’Or nekad untuk meninggalkan Old Trafford.
Calon terbaik dilihat boleh menjadi pengganti kepada Ronaldo ialah penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane berdasarkan rekod jaringannya selain berperanan sebagai kapten skuad England.
Namun, United perlu bersiap dengan perancangan rapi untuk meyakinkan penyerang itu mengenai projek jangka panjang selepas gagal beraksi di Liga Juara-Juara kali ini, selain bersedia dengan nilai perpindahan tidak masuk akal yang bakal dikenakan oleh Spurs.
United juga boleh menggunakan elemen psikologi untuk memujuk penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dengan meyakinkan bahawa kariernya di Paris sudah ‘mati’ selain menawarkan beberapa keistimewaan di Old Trafford.
Selain itu, bekas penyerang Juventus, Paulo Dybala mungkin menjadi calon paling relevan untuk menggantikan tempat Ronaldo di Old Trafford memandangkan dia kini berstatus ejen bebas selepas tamat kontrak di Turin bulan lepas.
Jika berjaya mengikat Dybala secara percuma, United juga boleh cuba membeli penyerang AS Roma, Tammy Abraham dengan memujuknya kembali ke England atau menyelamatkan karier Dominic Calvert-Lewin dari Everton. – AGENSI