SHAH ALAM – Bekalan minyak masak peket semakin berkurangan di daerah ini dengan sebilangan kedai langsung tidak menerima bekalan sejak dua bulan lalu.
Situasi ini memeningkan peniaga apabila mereka dipersalahkan oleh pengguna yang kecewa selain mempertikaikan keadaan tersebut.
Seorang pekerja kedai runcit di Seksyen 6 dikenali Sugiarto, 30, berkata, stok minyak masak peket di premisnya telah dua bulan terputus ekoran sukar mendapatkan daripada pembekal dan pemborong.
“Tauke kedai juga buntu apabila ramai pembekal kata minyak masak peket telah habis.
“Ramai penduduk sekitar sini selalu tanya bila kedai akan menjual minyak masa peket semula, namun saya sendiri tiada jawapannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam
Hal sama turut diluahkan seorang pekerja kedai dikenali Sari Yanti, 34, apabila terpaksa menjual minyak masak botol sahaja sebab minyak peket sudah lama stok tidak tiba.
“Banyak pelanggan yang mengeluh, namun apa saya boleh buat sebab minyak masak peket memang tidak sampai sejak dua bulan lalu.
“Kami terpaksa menjual minyak masak botol sebagai pilihan kepada pengguna,” ujarnya.
Dalam pada itu, minyak masak peket yang terhad menyebabkan beberapa buah kedai runcit dilihat mencatu bekalan tersebut dengan tidak meletakkan di rak jualan.
“Memang tidak letak atas rak kerana bekalan sangat kurang ketika ini. Tauke tempah 10 kotak, namun yang dapat hanya dua kotak sejak dua bulan lalu
“Pening kepala dibuatnya dan kami terpaksa buat begitu bagi mengelakkan minyak peket itu cepat habis dan diborong orang ramai,” jelasnya.