PADA usia seawal 19 tahun, Aishah Ashfira atau nama lengkapnya, Aishah Nur Ashfira Che Mohd Nor mula merencana kehidupan masa depan termasuk menempah nama dalam dunia permodelan.
Semuanya bermula apabila gadis manis kacukan Cina dan Brunei berasal dari Kuching, Sarawak ini memulakan kerjaya sebagai model sambilan tahun lalu untuk kanvas salah seorang jurusolek terkenal di Malaysia.
Sesuatu yang menarik apabila Aishah juga sudah menjelajah ke lima buah negara iaitu Jepun, Australia, Arab Saudi, Turki dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Bagi pelajar tingkatan enam ini, dia turut menyimpan angan-angan untuk bergelar seorang juruterbang walaupun hanya mempunyai berketinggian 154 sentimeter (cm).
Bercerita mengenai impian untuk menjadi juruterbang, Aishah mengakui dia dibesarkan dalam keluarga yang berkecimpung dalam dunia penerbangan
Bersama Kosmo! Ahad, gadis periang ini berkongsi perihal keluarga, peribadi dan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Kosmo! Ahad: Ceritakan mengenai latar belakang anda?
Aishah: Saya merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik. Ibu saya merupakan seorang mualaf, manakala ayah pula berasal dari Brunei dan kini menetap di Kuching, Sarawak. Saya mempunyai ramai ahli keluarga yang bekerja sebagai pramugari dan sudah pasti cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang juruterbang.
Hobi Aishah pada waktu lapang?
Saya gemar melakukan aktiviti lasak dan pernah mengikuti kelas Muay Thai selama lima tahun. Bagaimanapun, saya terpaksa berhenti demi menumpukan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Sekali sekala, saya akan mengikuti kelas bermain piano.
Negara yang paling suka dilawati?
Negara Jepun kerana sikap dan budaya masyarakat di negara itu yang sangat berbeza. Jepun juga merupakan antara salah satu negara yang paling bersih di dunia.
Karakter yang menggambarkan diri Aishah?
Orang cakap saya seorang yang periang dan kuat ketawa. Saya tidak menafikannya kerana saya memang akan ketawa terhadap semua perkara waima sekecil-kecil hal.
Pendapat tentang penyakit influenza?
Pada pandangan saya, virus takkan pernah lenyap. Ada sahaja virus baharu yang muncul. Aishah berpesan kepada pengikut untuk sentiasa melindungi diri dan mementingkan penjagaan kesihatan.
Bagaimana pula dengan persiapan Hari Raya Aidiladha?
Sambutan hari raya mungkin disambut secara sederhana kerana saya tidak mempunyai kampung. Kebiasaannya saya akan mengikuti keluarga ke masjid untuk melihat proses penyembelihan lembu.
Bagaimana dengan perancangan masa depan?
Saya akan meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan mengembangkan lagi kerjaya sebagai seorang model sambilan.