BANGKOK- Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan penggunaan ganja secara terbuka, lapor laman berita Thaiger semalam.
Anutin yang juga selaku Menteri Kesihatan berkata, kebenaran penggunaan ganja adalah keputusan yang tepat meskipun menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk media.
“Malangnya, disebabkan isu Covid-19, Akta Ganja tidak dapat disiapkan seiring dengan tarikh kami ‘membebaskan’ ganja daripada senarai narkotik terlarang.
“Saya tidak akan menunggu atau berlengah membenarkan penggunaan ganja sekalipun masa boleh diputarkan kembali kerana ia adalah keputusan yang terbaik,” tegas Anutin.
Kerajaan Thailand dikritik selepas beberapa insiden berkaitan penggunaan ganja menjadi tajuk berita utama di negara Gajah Putih itu.
Antara insiden berkenaan termasuk peningkatan dalam kemasukan ke hospital, penggunaan ganja dalam kalangan kanak-kanak dan pertambahan kedai yang menjual produk
tersebut.
Namun, beliau berdiri teguh dan mengulangi kenyataan bahawa penyingkiran ganja daripada senarai narkotik adalah untuk kebaikan.
Ini kerana ia dapat membantu pesakit yang memerlukan ganja sebagai rawatan tradisional dan menjadi tanaman kedua para petani semasa musim menuai tamat.
Anutin meramalkan masa depan industri ganja Thailand akan bernilai sehingga AS$3 bilion (RM13 bilion) dan akan menjadi hab perubatan di Asia dalam tempoh lima tahun. – Agensi