MALE – Negara Maldives akan membina bandar terapung pertama di dunia dengan reka bentuk berinspirasikan terumbu karang, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Kerajaan Maldives berharap bandar terapung itu dapat menjadi penyelesaian kepada masalah peningkatan paras laut yang semakin ketara.
Dinamakan Maldives Floating City, bandar itu akan merangkumi pembinaan 5,000 unit rumah berwarna-warni yang ditambat pada lantai lagun seluas 202 hektar (500) ekar.
Pelawat perlu menaiki bot selama 10 minit dari ibu kota Maldives, Malé untuk pergi ke bandar terapung itu.
Mereka akan menemui hotel, rumah, kedai dan restoran di bandar terapung tersebut.
Tiada kereta yang akan beroperasi dan semua akses perjalanan boleh dilakukan sama ada dengan berjalan kaki, berbasikal, menaik bot atau menunggang skuter elektrik.
Reka bentuk Maldives Floating City itu diilhamkan oleh struktur jalan raya dan saluran air berasaskan alam semula jadi yang menyerupai rupa sebenar sebuah terumbu karang, demikian menurut laman web projek berkenaan.
Negara Maldives terdiri daripada 1,192 pulau terumbu karang dan pulau kecil yang berada dalam 26 gugusan.
Pembinaan Maldives Floating City bertujuan untuk memulihara dan menambah baik ekosistem semula jadi negara kepulauan tersebut.
Tontonan kepada awam akan tersedia pada Ogos ini sebaik sahaja blok perumahan modular pertama siap dibina dan diangkut ke lagun tersebut.
Bandar itu akan dibina secara modular pada Januari 2023 dengan kerajaan menetapkan sasaran lima tahun untuk menyiapkannya.
Maldives merupakan antara negara paling terdedah kepada ancaman perubahan iklim dengan 80 peratus negara kepulauan itu berada hanya 1 meter di atas paras laut. – Agensi