PUTRAJAYA – Semua individu warganegara dan warga asing yang tiba dari Sabah di semua Pintu Masuk Domestik dan Antarabangsa diwajibkan menjalani saringan pengesanan Covid-19 mulai esok hingga 10 Oktober depan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka juga diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dari tarikh ketibaan di Pintu Masuk Domestik dan Antarabangsa sehingga keputusan makmal diperoleh.
“Kesemua individu yang tiba dari Sabah akan diberi surat HSO dan dipakaikan gelang kuarantin.
“Jika terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, mana-mana individu yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang perlu menjalani saringan ulangan Covid-19.
“Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19,” katanya.
Berhubung kes baharu Covid-19, Noor Hisham berkata, sebanyak 82 kes baharu dilaporkan dengan 64 daripadanya dilaporkan di Sabah termasuk di Kluster Benteng LD (33) dan Kluster Bangau-Bangau (25). -K! ONLINE