TOKYO – Suspek pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dipercayai bekas anggota pasukan pertahanan diri maritim, lapor laman The Guardian.
Yamagami dilaporkan meninggalkan pasukan itu pada 2005.
Lelaki berusia 41 tahun itu melepaskan tiga das tembakan ke arah Abe di mana dua daripadanya mengenai leher mendiang dan menyebabkan pendarahan serius.
Pada sidang media di Hospital Universiti Perubatan Nara, pihak berkuasa mendedahkan Abe tiba di fasiliti itu tanpa denyutan nadi namun berjaya diresusitasi oleh pasukan perubatan.
Bagaimanapun, kecederaan Abe terlalu parah dan beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan).
Sementara itu, polis mengesahkan Yamagami mengaku menembak bekas perdana menteri itu dengan senjata buatan sendiri.
Suspek memberitahu polis bahawa dia berdendam dengan sebuah organisasi tertentu dan percaya Abe adalah sebahagian daripada pertubuhan tersebut.
Polis bagaimanapun tidak mendedahkan nama pertubuhan itu.
Polis mendakwa telah merampas beberapa senjata buatan sendiri yang serupa dengan yang digunakan dalam serangan itu daripada pencarian di rumah suspek.
Polis juga tidak mendedahkan sama ada sebarang peluru ditemui di tempat kejadian.
Polis berkata mereka percaya suspek pergi ke acara itu dengan menaiki kereta api.
Mereka juga berkata siasatan yang merangkumi 90 anggota akan merangkumi tahap keselamatan pada acara itu. – Agensi