fbpx

Perkahwinan tak daftar, isteri tidak layak tuntut harta arwah suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.

PETALING JAYA – Bagi pasangan yang bernikah di sempadan Thailand dan perkahwinan mereka masih belum didaftarkan di Malaysia, si isteri tidak layak untuk mendapat bahagian harta faraid yang ditinggalkan arwah suami.

Perkara itu didedahkan Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli menerusi hantarannya di Facebook hari ini.

Beliau berkongsi cerita mengenai pengalaman seorang wanita yang terkejut apabila didatangi seorang wanita lain dan mengaku sebagai isteri kedua kepada arwah suaminya ketika di sebuah majlis tahlil.

“Pernah ada kisah benar di mana sewaktu ahli keluarga sedang menguruskan urusan tahlil arwah seorang suami yang meninggalkan isteri dan 4 orang anak, tiba-tiba ada seorang wanita yang tidak dikenali turut hadir ke majlis tersebut.

“Wanita tersebut pernah berkahwin dengan suaminya di sempadan Thailand beberapa tahun yang lalu. Sudah ada anak kecil bersama si mati, namun pernikahan itu belum disahkan di Malaysia,” kongsinya.

Bercerita lanjut, Fahmi memaklumkan kehadiran wanita kedua itu adalah untuk menuntut harta peninggalan arwah suaminya kerana menganggap dia dan anaknya layak menerima sebahagian daripada harta itu.

Bagaimanapun, sekiranya perkahwinan dan pernikahan mereka tidak didaftar di Malaysia, secara jelasnya wanita itu tidak boleh menuntut harta tersebut.

“Jika tak disahkan, secara perundangannya, wanita tersebut tidak layak untuk mendapat bahagian harta faraid apatah lagi nak menuntut harta sepencarian.

“Hanya pasangan yang telah disahkan pernikahan sahaja yang boleh ‘claim’ dia adalah waris yang sah,” ujarnya.

Katanya lagi, sekiranya hasil perkahwinan tersebut diberikan zuriat, anaknya itu juga tidak mempunyai sebarang hak tuntutan ke atas harta yang ditinggalkan.

“Jika ada anak, anak tersebut tidak boleh dibin atau bintikan kepada si bapa tersebut kerana ia dianggap seperti anak tak sah taraf. Maka, anak tersebut tidak layak menerima pusaka si mati,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI