fbpx

Pembuli siber di Jepun akan dipenjara setahun, denda RM9,798

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Undang-undang itu dirombak susulan kempen yang diadakan oleh ibu Hana Kimura. - Getty

TOKYO – Seseorang yang didapati bersalah atas jenayah buli siber di Jepun kini berdepan hukuman penjara setahun di bawah undang-undang baharu yang berkuatkuasa semalam, lapor portal berita MailOnline.

Undang-undang buli siber diperketatkan susulan kematian seorang bintang realiti televisyen dan ahli gusti wanita yang diganggu secara online.

Hana Kimura yang merupakan bintang realiti televisyen popular di Jepun selepas membintangi program Terrace House, meninggal dunia pada 2020. 

Kimura dikecam selepas tayangan sebuah episod program televisyen tersebut yang memaparkan dia hilang sabar selepas rakan serumahnya secara tidak sengaja merosakkan pakaian gustinya yang mahal. 

Antara komen mereka termasuk ‘semua orang akan gembira jika anda tiada’.

Sebelum membunuh diri, Kimura memuat naik beberapa hantaran di media sosial termasuk gambar dia bersama kucing kesayangannya beserta kapsyen ‘selamat tinggal’.

Undang-undang buli siber dirombak susulan kempen yang diadakan oleh ibu Kimura, Kyoko. 

Bentuk hukuman sebelum ini termasuk denda cuma 10,000 yen (RM326) atau penjara hanya 30 hari. Pesalah kini berdepan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga 300,000 yen (RM9,798) atau penjara setahun .

Menteri Kehakiman, Yoshihisa Furukawa berkata, hukuman itu dipertingkatkan bertujuan untuk menegaskan bahawa buli siber adalah kesalahan jenayah.

“Adalah penting untuk kita berusaha menghapuskan penghinaan yang kadang-kadang mendorong seseorang untuk membunuh diri,” katanya pada sidang akhbar minggu ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI