fbpx

Memaknai pengorbanan Mat Kilau dan pahlawan-pahlawan ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari ini ada seorang lelaki yang telah lanjut usia dipimpin tangannya masuk ke pawagam oleh zuriatnya. Hari ini juga ada ibu tua yang seumur hidupnya tidak pernah menjejakkan kaki ke panggung wayang buat pertama kali melakukannya.

Di luar, sebelum masuk ke pawagam, ramai pemuda dilihat berbangga hadir bertanjak. Keluar pawagam pula, anak-anak berkobar mahu belajar berpencak.

Begitulah hebatnya fenomena filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. Daripada sultan, menteri, ahli politik, budayawan, penggiat filem, media hingga netizen, rata-ratanya memuji.

Tidak kurang juga golongan agamawan yang menunjukkan sokongan dan hadir ke pawagam, yakni satu tempat yang selama ini dianggap tidak islamik di sebuah negeri. Ironi bukan?

Bagi penulis, keberanian mendobrak mentaliti klise bahawa karya sebegini merugikan dan mengangkat tema ini suatu yang terpuji. Tidak wajar seandainya ‘bukaan langkah’ naskhah-naskhah biografi sejarah berterusan dianggap sumbang dan canggung dalam dunia perfileman negara.

Apa yang pasti, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini mesejnya sampai sehingga diakui ramai membangkitkan semangat positif, patriotisme dan penyatuan ummah serta membugar rasa cintakan warisan. Sekurang-kurangnya anak-anak ada pahlawan realiti Melayu yang boleh diidolakan, tidaklah tahu Superman, Ultraman atau BoBoiBoy saja.

Pada hemat penulis, tiada kritikan besar yang patut diambil pusing pada filem ini, kendatipun ada, jelas ia tidak ubah seperti langau-langau yang mencari kuman pada badan gajah.

Kita terpukau dengan ketulusan jihad Mat Kilau demi Islam, Melayu dan tanah air. Kita terpesona dengan sabar dan matangnya dalam membuat keputusan.

Kita juga berasa insaf dan bagai ditampar-tampar bila melihat realiti bangsa kita yang lebih selesa berdiam hanya kerana enggan ‘mencari pasal’ walau di sudut hati mahukan seseorang tampil berjuang. Mat Kilau adalah pejuang kala ramai memilih untuk merana di ‘zon selesa’.

Memang bukan dengan pertumpahan darah Mat Kilau dan pendekar-pendekar tanah air seperti Datuk Maharajalela, Dol Said, Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut hari ini, esoknya kita terus merdeka, namun usah dianggap perjuangan mereka itu sia-sia.

Every journey of a thousand miles starts with one step dan merekalah antara pemula langkah pertama yang susah dalam perjuangan panjang membebaskan negara daripada belenggu penjajah.

Biarpun penentangan Mat Kilau tidak berjaya menyekat kemaraan British dari Tanah Melayu, tetapi ia memberi tekanan agar mereka tidak terus memperkotak-katikkan bangsa ini sehingga banyak sumber rasmi menunjukkan British mengalami kerugian besar dalam pertarungan itu dan nyaris meninggalkan Pahang.

Daripada perjuangan sebegitulah, bangsa Melayu ditiupkan semangat nasionalisme dan percaya diri sehingga tercetusnya gerakan-gerakan yang akhirnya memuktamadkan kemerdekaan secara diplomasi.

Tohmahan filem ini fasis dan perkauman, penulis sifatkan terlalu dangkal. Biarpun sarat elemen kemelayuan, sifat buruk orang Melayu juga ditonjolkan. Gila pangkat, dengki, belot dan enggan bersatu waima ketika keris sudah di leher musuh, itu semua hal yang melemahkan bangsa Melayu bak kata Captain Syers.

Esok kita menyambut Aidiladha dan Mat Kilau adalah salah seorang insan yang menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as mahupun Habil yang mengorbankan apa yang disayangi demi iman.

Hakikatnya, nama Mat Kilau bukanlah asing bagi kita dan lipatan tawarikh, cuma selepas 50 tahun arwah menutup mata barulah namanya meniti di bibir-bibir jutaan rakyat Malaysia yang benar-benar merasakan pengorbanannya begitu bermakna.

Pengajarannya juga, apa yang kita korbankan hari ini mungkin tidak dipandang orang, tapi siapa tahu berpuluh atau beratus tahun akan datang pengorbanan itu dimaknai dan dijulang. Salam Aidiladha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI