MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan sudah menyenaraikan lima pantang larang yang perlu dipatuhi oleh semua pemainnya sama ada berstatus bintang atau sebaliknya.
Menurut laporan media tempatan, antara yang dititikberatkan oleh Ten Hag adalah soal menepati masa dan larangan minuman alkohol sepanjang minggu perlawanan.
Situasi itu mungkin menyebabkan para pemain terpaksa melupakan keinginan mereka untuk meminum minuman keras sepanjang musim selepas mengambil kira komitmen kelab yang akan bermain dua kali seminggu.
Selain itu, jika ada pemain yang didapati tiba lewat ke sesi latihan mahu pun perjumpaan pasukan, Ten Hag tidak teragak-agak untuk menggugurkan individu berkenaan daripada menyertai perlawanan tanpa sebarang pengecualian.
Selain itu, salah satu perubahan besar yang dibawa pengurus dari Belanda itu adalah membabitkan aspek pemakanan apabila Ten Hag melarang pemainnya menggunakan khidmat tukang masak peribadi.
Pengurus itu mahu menjadikan kafeteria pasukan sebagai tempat makan utama buat pemain, selain sudahpun membuat perubahan terhadap menu makanan yang bakal dinikmati pemain sejak ketibaannya di Old Trafford.
Walaupun mementingkan sumber makanan berasaskan sayur dan ikan, setiap pemain masih dibenarkan mendapatkan makanan mengikut keperluan sendiri, namun ia tetap di bawah seliaan kelab.
Selain itu, Ten Hag juga mahukan Indeks Jisim Badan (BMI) pemain juga akan diperiksa setiap minggu dan yang terakhir adalah mahu pemain meluahkan segala rungutan kepadanya secara terus, bukannya didedahkan kepada pihak luar termasuk dengan ejen sendiri.
Ini kerana, Ten Hag merasakan ‘kebocoran’ maklumat dan isu di bilik persalinan menjadi masalah besar kepada pengurus terdahulu, Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick. – AGENSI