MELAKA – Padah menjual dan memiliki alat telekomunikasi tidak diperakui, sebuah syarikat termasuk pengarahnya diarahkan membayar denda sebanyak RM15,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Darson Electronics Sdn. Bhd. dan Pengarahnya, Tan Kwee Geok, 56, yang mengaku salah sebaik sahaja empat pertuduhan dibackan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan satu dan dua, Darson Electronics Sdn. Bhd. dan Kwee Geok didapati memiliki 11 unit mikrofon tanpa wayar jenama Langpu.
Bagi pertuduhan tiga dan empat, Kwee Geok didapati telah menjual satu unit mikrofon tanpa wayar jenama Langpu model U3001B.
Kesemua unit tersebut didapati tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) dan 16(3) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Kesalahan itu dilakukan Taman Plaza Melaka Sentral dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Julai 2020 dan 5 Mei 2021.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan barangan kes dilucut hak serta dilupuskan berdasarkan Akta SKMM.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar denda minumum diberikan dengan alasan menyesali perbuatan itu, selain perlu membayar gaji pekerja dan menanggung keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM15,500 bagi kesemua pertuduhan. -KOSMO! ONLINE