LONDON – Impian Rafael Nadal untuk memburu gelaran ketiga Wimbledon tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik
diri susulan kecederaan perut yang dialaminya ketika berjaya mengatasi pemain Amerika Syarikat (AS), Taylor Fritz kelmarin.
Juara dua kali Wimbledon (2008 dan 2010) tersebut menahan kesakitan ketika menang dalam aksi lima set 3-6, 7-5, 3-6, 7-5, 7-6, namun tidak dapat memberi sebarang kata putus mengenai statusnya menjelang pertembungan separuh akhir ketika dijadual menentang pemain Australia, Nick Kyrgios malam tadi.
Dalam laporan antarabangsa, Nadal dikatakan mengalami luka sepanjang 7 milimeter (mm) pada bahagian perut, namun tetap meneruskan perlawanan ketika berdepan Fritz.
“Saya telah mencuba banyak kali dalam karier saya untuk meneruskan perlawanan apabila berlaku kecederaan, tetapi jelas masalah di perut saya itu akan menjadi lebih teruk jika meneruskannya.
“Saya mengalami rasa sakit yang teruk dan ada sesuatu yang tidak kena. Ia sudah disahkan, terdapat kesan koyakan pada otot di perut.
“Saya akui sangat sedih kerana sepanjang hari saya memikirkan tentang keputusan yang akan saya buat. Saya rasa ia tidak masuk akal untuk meneruskan perlawanan dengan keadaan seperti ini,” kata Nadal.
Nadal pernah mengalami situasi sama di Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2009 apabila mengalami kecederaan diperutnya apabila berlaku koyakan sepanjang 2 sentimeter di perutnya.
Dia bermain hingga ke peringkat separuh akhir, namun tewas kepada pemain yang muncul juara kejohanan, Juan Martin del Potro. – AGENSI