PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah jangkitan baharu akan meningkat di negara ini susulan daripada varian Omicron BA.4 dan BA.5.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, untuk Omicron BA.5, ia adalah versi virus Covid-19 paling mudah merebak setakat ini dan lebih mudah menjangkiti berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2
Katanya, pada masa ini terdapat 13 kes Omicron sedang dipantau rapi oleh KKM melibatkan enam kes BA.2.12.1, lima kes BA.5 dan dua kes BA.5.2 dengan kesemuanya didapati positif antara Mei dan Jun manakala, tiada kes sublineage Omicron BA.4 setakat ini.
“Mereka yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 atau telah dijangkiti sebelum ini lebih berkemungkinan untuk dijangkiti semula dengan varian ini. Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 dalam beberapa minggu akan datang.
“Situasi seperti ini juga telah mengakibatkan peningkatan kemasukan ke hospital di negara-negara seperti Singapura, Portugal, United Kingdom (UK) dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ujarnya, bagaimanapun data dari Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan, individu telah lengkap vaksinasi dos primer dan menerima dua dos penggalak, terutamanya dalam kumpulan umur 60 dan ke atas, mempunyai kadar kematian lebih rendah berbanding mereka yang hanya mempunyai satu dos penggalak. -KOSMO! ONLINE