PETALING JAYA – Seorang pesara mengalami kerugian RM64,000 diperdaya wanita warga Jerman yang meminta membuat bayaran selepas dia menghantar bungkusan yang mengandungi pelbagai barangan dalam kejadian empat bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 62 tahun itu telah berkenalan dengan seorang wanita warga Jerman melalui laman sosial Facebook.
“Mangsa telah diberitahu oleh suspek untuk menerima beberapa barangan seperti laptop, jam tangan, rantai emas dan jersi Manchester United serta wang tunai euro $20,000 bersamaan kira-kira RM90,000.
“Bagaimanapun, atas dasar percaya, mangsa telah membuat pembayaran transaksi awal sebanyak RM1,750 sebagai kos penghantaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fakhruddin berkata, hasil risikan operasi komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling jaya, polis berjaya menangkap empat individu warga asing di McDonald Sri Damansara pada 4 Julai lalu.
“Kesemua suspek merupakan warga Nigeria berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an. Polis juga merampas barang-barang yang disyaki mempunyai bukti-bukti kukuh terhadap suspek,” ujarnya.
Katanya, suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 10 Julai ini. – KOSMO! ONLINE