GUA MUSANG – Pergerakan kenderaan perantau memasuki negeri Kelantan melalui Gua Musang untuk pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dilihat masih lancar dan terkawal setakat ini.
Tinjauan Kosmo! di bandar Gua Musang setakat pukul 10 pagi ini mendapati aliran trafik di kedua-dua arah masih lancar berikutan belum berlaku pertambahan kenderaan yang ketara.
Laluan di bandar ini dijangka bertambah sesak bermula malam ini sehingga malam esok iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.
Seorang pekerja swasta, Nur Khareeza Adnan, 37, berkata dia memilih untuk pulang ke kampung halamannya di Machang dari ibu negara hari ini bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
“Saya bertolak dari Kuala Lumpur pukul 5 pagi tadi dan sampai di Gua Musang kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Perjalanan masuk ke Kelantan berjalan lancar dan tiada sebarang kesesakan trafik setakat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE