KIEV – Seorang model Brazil yang menawarkan diri untuk berperang bersama tentera Ukraine dilaporkan mati akibat serangan peluru berpandu Russia, lapor laman berita Wion News semalam.
Thalita do Valle yang merupakan seorang bekas model berusia 39 tahun, baru berada di Ukraine selama tiga minggu untuk menyertai skuad penembak tepat.
Pada 30 Jun lalu, sebuah peluru berpandu Russia mengenai rantau Kharkiv iaitu lokasi di mana Thalita bersama-sama sekumpulan askar Ukraine sedang dalam misi untuk menyelamatkan penduduk di sebuah kampung.
Peluru berpandu itu mengenai kubu mereka, lapor akhbar The Sun.
Serangan peluru berpandu itu turut membunuh bekas anggota tentera Brazil, Douglas Burigo, 40, yang kembali ke kubu untuk mencari wanita itu.
Thalita ialah satu-satunya orang yang tertinggal selepas serangan peluru berpandu pertama, kata beberapa pejuang lain.
“Dia ialah seorang wira dan matlamatnya adalah untuk menyelamatkan nyawa dalam misi kemanusiaan,” kata abang Thalita, Theo Rodrigo Viera kepada saluran berita Brazil, UOL.
Thalita yang sebelum ini menetap di kota raya Sao Paulo adalah seorang bekas pelakon kanak-kanak dan bekerja sebagai model pada usia 18 tahun.
Dia juga belajar dalam jurusan undang-undang selain menjadi aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mempertahankan hak haiwan, kata keluarganya.
Thalita mendapat latihan sebagai penembak tepat semasa menyertai pasukan Pashmerga iaitu militia puak Kurdis di wilayah Kurdistan, Iraq, demikian menurut laman news.com.au. Dia pernah menyertai misi kemanusiaan di seluruh dunia dan turut berperang menentang militan Daesh di Iraq. – Agensi