KLANG – Keseronokkan 71 individu berhibur di sebuah kafe yang menyajikan minuman keras tidak bertahan lama selepas diserbu polis dalam kejadian di Bandar Baru Klang di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, kesemua yang ditahan termasuk pemilik kafe berusia lingkungan 20 hingga 70-an dikompaun RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pengunjung didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada dalam premis terbabit.
“Siasatan mendapati premis tersebut diubahsuai daripada sebuah pusat hiburan dan dipercayai baru beroperasi.
“Kesemua mereka disiasat mengikut seksyen 11 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nurulhuda menegaskan pihaknya akan meneruskan operasi dan pemantauan supaya semua aktiviti perniagaan terutama di pusat hiburan mematuhi prosedur standar operasi (SOP) PKPP atau berdepan tindakan tegas. – K! ONLINE